PRN: 'Tunjuk jari untuk RM5, tawaran buat pengundi di Klang
Fareez Azman
Ogos 12, 2023 17:16 MYT
Ogos 12, 2023 17:16 MYT
KLANG: Lebih 3.74 juta pengundi Selangor dijangka menunaikan tanggungjawab sehingga jam 6 petang Sabtu di 997 pusat pengundian di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuka sejak jam 8 pagi Sabtu.
Dalam perkembangan lain, cerita peniaga Kopi Kembwang yang terletak di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, Klang cukup menarik perhatian orang ramai apabila pemiliknya menawarkan harga istimewa buat para pengundi.
Pemiliknya, Amirul Amin Ahmad, 34, ketika ditemui Astro AWANI berkata, tujuannya menawarkan harga rendah itu adalah bagi menggalakkan pengundi di Selangor terutama di Klang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Hari ini kedai kami ada mempromosi kopi latte, cappucino, mocha dan vanilla pada harga RM5 untuk kopi panas atau sejuk.
“Tujuan kami buat ini untuk mengalakkan semua pengundi balik, datang kedai kami tunjuk jari anda yang dah dicelup dengan dakwat biru.
“Potongan harga lebih 50 peratus ini sebagai tanda sokongan kami kepada proses demokrasi di Selangor,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
PRN Selangor menyaksikan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan 147 calon dari tujuh parti politik berentap bagi mendapat mandat rakyat di negeri itu.