PRN: Tolak calon guna modal fitnah, laga rakyat - Pertubuhan Profesor G70
Faida Rahim
Ogos 9, 2023 19:26 MYT
Ogos 9, 2023 19:26 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat di enam buah negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) diseru agar menolak calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi.
Pengerusi Pertubuhan Profesor G70, Prof Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud memaklumkan rakyat juga perlu menolak calon yang cuba mengeksploitasi sentimen agama serta kaum dengan melaga-lagakan rakyat berbilang bangsa dan budaya demi meraih keuntungan politik kepartian masing-masing.
Dalam satu kenyataan, Wan Ramli mewakili badan berkenaan berharap rakyat yang turun mengundi pada 12 Ogos ini menolak calon daripada pakatan politik yang mengkhianati amanah demokrasi serta menyalahgunakan kedudukan politik demi memenuhi kepentingan diri dan kumpulan.
Tambah beliau, rakyat perlu mendukung calon dari pakatan politik yang bertekad untuk bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan dalam mengembalikan maruah negara, menegakkan keadilan sosial, meningkatkan keharmonian kaum, serta membina semula keyakinan pelabur, sekali gus membaik pulih ekonomi.
Sehubungan itu, rakyat wajar memilih calon yang memiliki iltizam bagi membina sebuah kerajaan negeri yang berteraskan prinsip tatakelola yang baik serta bertekad memerangi sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa terhadap kepentingan rakyat serta negara.