PRN: Tindakan saman Sanusi untuk pertahan diri dari fitnah - Amirudin

Fareez Azman
Ogos 8, 2023 13:47 MYT
Amirudin bercakap dalam sidang media khas Menteri Besar Selangor di Pejabat Ahli Parlimen Gombak di sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
GOMBAK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan tindakan beliau menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor adalah sebagai mempertahankan diri dan bukannya menyalahgunakan kuasa.
Tambahnya, tindakan itu juga bukan untuk mengekang kebebasan bersuara sebaliknya untuk melawan fitnah yang dihamburkan terhadapnya.
"Dia fitnah melata, tak salah guna kuasa atau masuk syurga? Salah pintu bukan masuk syurga, tetapi neraka. Tak kan orang saman nak pertahankan diri apa kita boleh buat, menangis jumpa dengan dia?
"Orang tak ada maruah, dengan Che'gu Bard (pun) tidak patut dilayan, keluarkan balik dakwaannya kepada Azmin tentang pintu gerbang.
"Saya tidak anggap berat apa-apa tuduhan Che'gu Bard, dia hanya bergerak, orang mengupahnya," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Menteri Besar Selangor di Pejabat Ahli Parlimen Gombak di sini pada Selasa.
"Kenapa dia nak tuduh kita? Sebab REE di Kedah" - Amirudin Shari
Tambah Amirudin, isu yang ditimbulkan itu telah dijawab oleh semua pihak termasuk Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd dan Selangor Maritime Gateway (SMG).
"Serangan minggu terakhir isu-isu seperti ini panjang lebar saya terangkan satu jam di Parlimen berkenaan SMG, YB Ir Izham terangkan 45 minit di sidang DUN.
"Benda ini bukan main-main prosesnya, tapi mereka nak garap benda ini sebagai political score jadi fitnah, kita cakap jangan kuat, kita saman dia marah pula.
"Otak dia sama macam 'parti hijau', semua tuduhan dibuat 'parti hijau', Perikatan Nasional betul-betul salin tampal," jelasnya lagi.
#Amirudin Shari #saman fitnah #Muhammad Sanusi Md Noor #Che'gu Bard
;