GEORGE TOWN: Pulau Pinang tidak bercadang untuk memberi cuti khas sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri ke-15 (PRN15) ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun PH yakin akan memenangi 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, perkara itu tidak akan dilaksanakan.

"Saya tidak bercadang untuk memberi cuti khas sekiranya gabungan PH-BN menang di Pulau Pinang.

"Walaupun kita yakin akan memenangi 30 daripada 40 kerusi pada kali ini untuk membentuk kerajaan, pemberian cuti tidak akan diberikan," katanya ketika ditemui selepas melawat beberapa pusat mengundi di sekitar bandar ini pada Sabtu.

IKUTI PERKEMBANGAN PRN 6 NEGERI SECARA LANGSUNG DI SINI

LIHAT KEPUTUSAN PRN RASMI/ TAK RASMI DI SINI


Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak mengisytiharkan cuti khas pada hari pengundian PRN kerana pilihan raya itu berlangsung pada Sabtu yang merupakan hari cuti bagi ramai pekerja.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga calon bagi kerusi Padang Kota turut menyatakan kelegaannya apabila tempoh berkempen bagi PRN telah selesai pada malam Jumaat.

"Saya bersyukur kerana kempen PRN telah disempurnakan pada malam tadi, ia dijalankan secara lancar tanpa berlaku sebarang insiden yang dilaporkan. Ini menunjukkan, semua calon dan parti yang bertanding termasuk jentera serta orang awam telah mengamalkan semangat yang baik bagi memastikan kempen berlangsung dengan aman, harmoni.

"Oleh itu, kita menyerahkan kepada pengundi untuk membuat keputusan. Saya juga berharap agar semua pusat mengundi serta petugas menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan sebagai pengundi," katanya.

Difahamkan, Kon Yeow akan membuat tinjauan di 10 pusat mengundi sekitar bandar ini sebelum berkumpul di Hotel St Giles pada jam 8 malam untuk menunggu keputusan PRN. - Sinar Harian