PRN: Tiada calon BN di Permatang Pauh bukti parti gagal berunding - Mohd Zaidi

Hilmi Malik
Julai 28, 2023 07:21 MYT
MOHD ZAIDI: Saya secara peribadi anggap ini adalah kegagalan parti berunding dengan PH hingga UMNO diketepikan. -Astro AWANI
PERMATANG PAUH: Ketiadaan calon BN yang bertanding di salah satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Permatang Pauh bukti parti itu gagal membuat rundingan dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, kawasan berkenaan merupakan kerusi tradisi parti dengan majoriti pengundi Melayu.
"Ini tidak gambarkan keputusan perpaduan yang baik sebaliknya hanya ego parti masing-masing.
"PKR di Permatang Pauh nampaknya bertegas bahawa kawasan ini adalah kubu PH dan perlu diberi ruang 100 peratus.
"Saya secara peribadi anggap ini adalah kegagalan parti berunding dengan PH hingga UMNO diketepikan," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata biarpun tidak berpuas hati, namun ahli UMNO di kawasan itu bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan berkenaan dan tetap menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rakan kerjasama politik itu.
Ujarnya, tiada apa lagi yang perlu disuarakan selain menyifatkan kedudukan itu seperti "nasi sudah menjadi bubur".
Mohd Zaidi, sebelum ini, menuntut salah satu kerusi berkenaan diberikan kepada UMNO dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Namun, ketiga-tiga DUN berkenaan yang terdiri daripada Seberang Jaya, Permatang Pasir, dan Penanti kesemuanya telah diisi oleh calon PKR.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ketiga-tiga kerusi itu dimenangi calon PH iaitu PKR menerusi Dr Afif Bahardin di Seberang Jaya dan Dr Norlela Ariffin (Penanti), manakala calon Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menang di Permatang Pasir.
#DUN Permatang Pauh #PRN #Mohd Zaidi Mohd Said #Seberang Jaya Permatang Pasir dan Penanti