KUALA LUMPUR : Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak tersenarai sebagai calon bagi mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ini sekali gus menjawab desas-desus bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu antara yang dipertaruhkan pada PRN di Selangor.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengumumkan senarai nama calon rasmi memaklumkan sebanyak 12 kerusi dipertandingkan oleh BN bagi DUN Selangor.

Begitupun, BN mempertaruhkan beberapa nama besar termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempertahankan DUN Rantau di bawah Parlimen Rembau.

Selain itu, muka lama yang turut menjadi 'ayam tambatan' BN ialah bekas Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ahli MKT UMNO itu akan bertanding di DUN Bertam di bawah Parlimen Kepala Batas.

Dalam masa sama, seorang lagi muka lama adalah Datuk Seri Jalaludin Alias, yang juga Ahli Parlimen Jelebu dengan beliau akan memberi saingan di kerusi DUN Pertang.

Antara lain yang diumumkan adalah tiga bekas Menteri Besar iaitu Datuk Seri Ahmad Said yang bertanding di DUN Kijal; Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di Seberang Takir, serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid di DUN Pedu.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan seramai 107 calon BN diletakkan, daripada 245 kerusi bagi PRN di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan serta Terengganu pada 12 Ogos ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 62 peratus adalah muka-muka baharu, dengan 18 peratus penyandang, manakala kira-kira 20 peratus adalah mereka yang pernah bertanding sebelum ini.

Daripada jumlah keseluruhan, BN bertanding di 14 kerusi DUN Kedah: Kelantan (31 kerusi); Terengganu (27 kerusi); Selangor (12 kerusi); Pulau Pinang (enam kerusi); manakala Negeri Sembilan (17 kerusi).