PRN: Tengku Zafrul digesa lepas jawatan bendahari UMNO, BN Selangor
Irwan Muhammad Zain
Julai 23, 2023 17:15 MYT
Julai 23, 2023 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz perlu melepaskan jawatan Bendahari UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor, kata Pemuda UMNO Kota Raja, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin.
Mohd Zaffarollah menegaskan adalah tidak wajar Tengku Zafrul terus memegang jawatan utama parti sedangkan beliau tidak dilibatkan dalam rundingan kerusi dan strategi parti di peringkat negeri.
"Memegang jawatan tetapi disisihkan daripada keputusan-keputusan penting menunjukkan pelantikan sebagai bendahari sekadar kosmetik semata-mata tanpa tanggungjawab yang signifikan.
"Walaupun kecewa dengan keputusan parti tidak mencalonkan Tengku Zafrul dalam PRN kali ini, kami di Pergerakan Pemuda UMNO akan tetap membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di Kota Raja," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, Tengku Zafrul disebut-sebut bakal bertanding pada PRN kali ini biarpun beliau sendiri berkali-kali menjelaskan tidak tahu tentang perkara tersebut.
Dilaporkan terdapat rundingan antara BN dan PH untuk memberi laluan kepada Tengku Zafrul di kerusi DUN Sg. Kandis namun gagal mencapai kata persetujuan.
PKR mengumumkan akan meletakkan calon mereka untuk bertanding di kerusi yang dimenangi sejak 2008 itu.