PRN tanpa kempen, calon dan jentera Wanita GPS perlu bijak atur strategi - Fatimah
Nuzuluddin Abdul Razak
November 8, 2021 21:59 MYT
November 8, 2021 21:59 MYT
KUCHING: Larangan kempen secara fizikal dan garis panduan ketat yang ditetapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah salah satu cabaran utama menjelang PRN Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Sehubungan itu Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, jika garis panduan sama diguna pakai untuk PRN12 Sarawak, calon wanita yang bertanding dan jentera parti perlu bijak menyusun strategi terutama menyantuni rakyat di luar bandar.
Katanya, hal ini penting memandangkan kesemua calon dan jentera pergerakan wanita PBB sudah terbiasa dengan konsep kekeluargaan dengan menyantuni rakyat dari rumah ke rumah serta bersua muka yang lebih disukai serta selesa buat rakyat.
"Ia adalah satu cabaran buat kami khasnya daripada pergerakan sayap wanita PBB untuk tidak lagi boleh berkempen seperti biasa bersama rakyat namun kita akur dengan SOP yang ditetapkan oleh SPR, kerana kita tahu ianya untuk keselamatan semua termasuk calon yang berkempen dan rakyat yang tinggal di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau ditanya pemberita selepas menghadiri majlis penghargaan buku ‘Sarawak Women in ECCE: Sowing Seeds For The Future’ di Kuching pada Isnin.
Menurut penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat itu, SOP PRN tanpa kempen bagaimanapun tidak akan memberi kesan besar atau menjejaskan usaha GPS untuk mengekalkan kemenangan dan kembali menerima mandat rakyat.
“Berkat kesepaduan, kerjasama dan iltizam yang tinggi kita untuk menang pilihan raya kali ini, kami akan melaksanakan apa sahaja mekanisme untuk memastikan mesej kepartian dan pemakluman dari pihak SPR khasnya sampai kepada penduduk di pedalaman," katanya.
Pada PRN 11, selain Fatimah tiga lagi calon wanita GPS menyertai DUN Sarawak iaitu Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (ADUN Samariang), Datuk Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan Datuk Semoi Peri (ADUN Lingga).
Selain Puan Sri Jamilah Anu (ADUN Tanjung Datu) selepas Pilihan Raya Kecil diadakan pada 2017.