PRN: Tanding Bebas, keahlian Rafie automatik gugur - Aminuddin

Shuhada Abdul Kadir
Julai 29, 2023 12:19 MYT
Aminuddin yakin jentera parti akan membantu memenangkan calon PH di DUN Ampangan walaupun penyandangnya kini bertanding atas tiket Bebas. - Foto Astro AWANI
SEREMBAN: Naib Presiden PKR Datuk Seri Aminuddin Harun optimis keputusan Datuk Mohamad Rafie Ab Malek bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan tidak menjejaskan potensi kemenangan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, meskipun setiap individu berhak membuat keputusan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya, namun tindakan Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban itu mengakibatkan keahliannya tergugur secara automatik.
Malah, jelas Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, ahli-ahli parti yang terlibat juga akan dikenakan tindakan.
“Kalau ikutkan, itu memang hak dia untuk bertanding, (tetapi) dia akan digugurkan sebagai ahli PKR.
“Apabila dia hantar sahaja permohonan (bertanding Bebas) hari ini, memang (automatik) keahliannya akan tergugur dan mereka yang terlibat juga akan diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon N13 DUN Sikamat di Dewan Komuniti Coral Heights, di sini, hari ini.
Mengulas soal tekanan dihadapi susulan tindakan mengejut Mohamad Rafie yang juga penyandang kerusi Ampangan itu, Aminuddin berkata, beliau optimis langkah itu tidak akan memberi kesan selain hanya ragam biasa dalam politik.
“Itu perkara biasa, dalam semua parti, kerana kalau kita belajar sejarah, sejak pilihan raya awal lagi, Tun Hussein Onn keluar parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dipecat.
“Pelbagai tribunal dalam politik ini sentiasa berlaku dan berubah. Kita serahkan kepada rakyat, khususnya di DUN Ampangan, untuk menentukan siapa yang layak dipilih.
"Mungkin mereka pilih parti, tidak pilih individu. Tetapi, kalau nak pilih individu, itu terpulang,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau yakin semua jentera akan membantu calon PH di Ampangan, iaitu Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, bagi memastikan kemenangan parti itu.
Gelanggang PRN Negeri Sembilan yang mula dibuka hari ini menyaksikan Mohamad Rafie membuat kejutan dengan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Ampangan.
Keputusan itu dikatakan dibuat selepas dia, yang juga Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Kerajaan Negeri Sembilan penggal lepas, dipercayai tidak puas hati namanya gagal dicalonkan semula mewakili PH di kerusi itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mohamad Rafie bertanding mewakili PH dan menang dengan majoriti 1,360 undi.
DUN Ampangan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad Rafie, Tengku Zamrah dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin calon Perikatan Nasional (PN).
#Aminuddin Harun #bertanding calon Bebas #PRN Negeri Sembilan #Mohamad Rafie Ab Malek
;