PRN: Tajuddin tidak berhasrat tanding wakili parti lain
Bernama
Mei 7, 2023 15:53 MYT
Mei 7, 2023 15:53 MYT
PASIR SALAK: Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak berhasrat untuk bertanding mewakili parti lain bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.
Sebaliknya jika rayuan penggantungannya sebagai ahli UMNO ditarik balik, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu mahu membantu jentera parti itu dalam kempen PRN itu.
"Kalau saya dilepaskan daripada penggantungan UMNO sudah tentu akan berkempen dan bantu parti buat kerja. Kalau boleh saya tidak mahu khemah parti lain," katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan Tajuddin mengemukakan rayuan terhadap penggantungan keahliannya selama enam tahun dan mahu kembali aktif dalam parti itu.
Pada Okt 2022 UMNO telah menggantung keahlian Tajuddin selama enam tahun, dan semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata rayuan itu akan dirujuk kepada MT untuk membuat keputusan.
Sementara itu Tajuddin berkata beliau berharap rayuan penggantungan keahliannya segera dibawa ke MT UMNO untuk pertimbangan, kerana menurutnya parti Melayu itu masih disayanginya dan beliau ingin menyelesaikan isu berkenaan secara baik.
"Saya rasa penuh yakin sekiranya dibawa ke Majlis Tertinggi, keputusannya adalah positif, sebab saya sudah menjelaskan dalam surat sebanyak dua kali sebelum ini dan juga semalam.
"Saya sebagai pengarah pilihan raya sebelum ini tidak membuat salah, sebagai ahli majlis tertinggi digantung, digugur sebagai calon pun tiada masalah. Kalau ada pun kerana saya bersuara lantang dalam isu kepentingan parti," katanya.
Bagaimanapun, Tajuddin berkata beliau bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan malah tidak akan berputus asa dalam perjuangan politik termasuk cuba aktif dalam menggunakan platform media sosial.
-- BERNAMA