PRN: Sokongan Rakyat kepada PH-BN kini lebih baik - Anwar
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 8, 2023 15:25 MYT
Ogos 8, 2023 15:25 MYT
NIBONG TEBAL: Sokongan rakyat terhadap gabungan Pakatan Harapan( PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat bijak menilai kesahihan berhubung fitnah yang dilemparkan pembangkang kepadanya.
Justeru, beliau yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, Sabtu ini akan membawa kemenangan besar kepada gabungan itu.
" Yang penting pilihan raya ini kita nilai dari segi keputusan rakyat. Setakat yang saya lihat ada kemaraan kalau banding 2022. Sambutan rakyat kepada PH-BN sekarang jauh lebih baik.
"Dulu dia (rakyat) dengar semua yang negatif... Anwar akan tarik balik hak Islam... dan dijadikan fitnah... dengan amalan itu menjadi budaya hingga orang percaya. Tapi orang tengok tak jadi pun macam itu," katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditanya berkenaan ramalan beberapa pihak berhubung keputusan status quo pada PRN ini, iaitu gabungan PH-BN dan PN akan mengekalkan penguasaan di negeri-negeri yang ditadbir sebelum ini.
Sementara itu, ditanya berkenaan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang Kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya PN menang besar dalam PRN, Anwar menolak berkenaan.
"Ustaz Hadi beri saya tiga bulan (sebelum ini) tetapi sekarang sudah sembilan bulan. Tapi dia tak faham Perlembagaan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi dalam ceramah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan berkata, kemenangan PN sangat penting untuk menukar kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN tidak menjelaskan dengan lebih lanjut bagaimana pertukaran itu boleh berlaku.
Terdahulu Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai masyarakat setempat makan tengah hari di Sungai Bakap yang turut disertai calon gabungan PH-BN daripada PKR bagi kerusi DUN Sungai Bakap, Norhidayah Che Rose.