PRN: Sokongan meningkat, PN Selangor yakin rampas Selangor

Fareez Azman
Jun 22, 2023 05:45 MYT
Menurut Setiausaha PN Negeri, Dr Afif Bahardin, keyakinan itu disandarkan berikutan momentum sokongan rakyat yang dilihat semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu. - Astro AWANI
SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor yakin dapat menakluk negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Setiausaha PN Negeri, Dr Afif Bahardin, keyakinan itu disandarkan berikutan momentum sokongan rakyat yang dilihat semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
“Alhamdulilah saya ambil pengalaman bertanding di Shah Alam tempoh hari. Momentum sokongan kita terima pada PRU lalu dilihat semakin meningkat.
“Rakyat sedar dan lihat pilihan yang ada hanya PN, bukan hanya PN ini mampu dari segi ketokohan pemimpin yang ada misi dan visi yang jelas untuk mentadbir sesebuah negeri,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan yang akan dibawa PN dalam misi besar untuk merampas Negeri Selangor dalam PRN kali ini ujar Dr Afif lagi, kepelbagaian tokoh menjadi kekuatan mereka.
“Bukan hanya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kita punyai pemimpin yang ada trek rekod seperti Dr Yunus yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ashraf juga pernah berada dalam kerajaan negeri dan ada ramai tokoh lain yang profesional dan wanita.
“Ini saya rasa satu kelebihan PN dan alhamdulilah semua tokoh pimpinan PN boleh beri jaminan kredibiliti, integriti dan keprihatinan mereka terbukti,” katanya lagi,
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI selepas Mesyuarat PN Negeri Selangor di sini pada Khamis.
Terdahulu, mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut disertai pimpinan tertinggi PN peringkat negeri.
#PRN #PN Selangor #Afif Bahardin #pilihan raya negeri
;