PRN: Singkir emosi, ego ketika pilih pimpinan negeri - Amirudin

Hasimi Muhamad
Ogos 11, 2023 11:41 MYT
Datuk Seri Amirudin Shari menasihatkan pengundi-pengundi di Selangor agar melaksanakan amanah mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok dengan penuh tanggungjawab. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Amirudin Shari menasihatkan pengundi-pengundi di Selangor agar melaksanakan amanah mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) esok dengan penuh tanggungjawab.
Selain itu, Menteri Besar Selangor menegaskan, mereka yang layak mengundi juga harus menyingkirkan emosi dan ego ketika memilih pimpinan negeri.
"Jangan sesekali dipengaruhi rasa benci. Ini bukanlah 'zero-sum game.' Janganlah kerana pilihan raya, kita menaruh dendam dan menanam benih kebencian. Janganlah kerana pilihan raya kita suudzon terhadap akidah saudara kita.
"Saya menghormati setiap pilihan rakyat. Itu hak anda. Hak sebagai warganegara. Kita semua warganegara Malaysia. Tiada seorang pun second class citizen. Seperti mana yang saya pernah tegas, no one will be left behind," katanya ketika berucap menyampaikan Amanah Khas Menteri Besar, hari ini.
Pengerusi Harapan Negeri Selangor itu menambah, PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini disifatkan sebagai tarikh penting dalam sejarah Negeri Selangor.
Ujar beliau, lebih 3.74 juta pengundi di Selangor bakal menentukan masa hadapan negeri itu untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri Selangor, negeri yang kita cintai ini," tambah beliau.
Dalam masa sama, calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu merakamkan penghargaan kepada semua jentera PH-BN di 56 kerusi atas jerih payah mereka.
#Amanat Khas Menteri Besar Selangor #Singkit kebencian PRN #Amirudin Shari
;