PRN: Semua pengundi di 6 negeri diharap laksana tanggungjawab Sabtu ini - Pengerusi SPR
Bernama
Ogos 8, 2023 12:50 MYT
Ogos 8, 2023 12:50 MYT
SHAH ALAM: Semua pengundi yang terlibat di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diharap dapat melaksanakan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada Sabtu ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Beliau berkata di pihak SPR, mereka amat menggalakkan rakyat untuk keluar beramai-ramai pada hari tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi dengan sempurna.
"Di peringkat kita, kita galak semua pengundi jalankan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan amat berharap kalau boleh untuk peratusan keluar mengundi kali ini dapat melebihi Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) lepas iaitu 86 peratus," katanya kepada media selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata laporan yang diterima beliau setakat 9 pagi tadi menunjukkan perjalanan undi awal di enam negeri membabitkan tentera, polis dan pasangan masing-masing berlangsung meriah dan berharap peratusan yang keluar mengundi juga adalah tinggi.
Dalam pada itu, katanya setakat ini perjalanan kempen PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan adalah lancar dan berlangsung secara baik, tanpa kejadian tidak diingini.
Mengenai jangkaan pengumuman keputusan PRN, Abdul Ghani berkata berdasarkan prestasi sewaktu penamaan calon dilakukan pada 29 Julai lalu, adalah diharapkan keputusan dapat diumumkan lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.
"Insya-Allah, kita pun dalam proses menaik taraf sistem dan kalau boleh seawal mungkin (dapat umum keputusan) dan lebih awal dari masa-masa lepas. Malah semasa penamaan calon baru-baru ini, kita dapat awalkan iaitu dalam 1 tengah hari sudah keluar untuk kesemua enam negeri," katanya.
-- BERNAMA