PRN: Selepas Sanusi, Azmin tolak, kini Rafizi cabar Mohd Syahir debat

Sinar Harian
Julai 30, 2023 11:00 MYT
Rafizi Ramli 'mencuba nasib' dengan mencabar Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi. - Gambar SINAR HARIAN
SEREMBAN: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli kali ini 'mencuba nasib' dengan mencabar Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.
Cabaran itu dibuat selepas Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak untuk berdebat dengannya.
"Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam PN tampil ke hadapan dan sudah beri ruang (berdebat) sepenuhnya.
"Saya akan menulis secara rasmi (jemputan berdebat) dan tunggu dia nak jawab apa," katanya ketika ditemui selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Sabtu malam.
Sebelum ini media melaporkan, Azmin yang juga bekas Menteri Kanan Ekonomi bersetuju menyahut cabaran debat tersebut, namun disertakan dengan syarat bahawa Rafizi perlu membuktikan telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, beliau akan berterusan mempelawa wakil PN untuk berdebat kerana budaya itu perlu dibawa demi pembaharuan negara.
"Ditambah pula dengan tokoh-tokoh daripada PN berkali-kali memainkan sentimen yang berasas mengenai ekonomi negara sedangkan inflasi sudah turun, prestasi pasaran saham baik, tetapi mereka masih membohongi rakyat dan mengulangi benda tidak betul.
"Kalau zaman saya pembangkang dahulu, saya yang cabar menteri untuk berbahas, tetapi menteri tak nak. Jadi, sekarang kita sudah beri ruang sepenuhnya," jelasnya.
Sementara itu, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi mengingatkan pengundi atas pagar akan menganggap kepimpinan PN tidak berani berdebat sekiranya berterusan menolak pelawaan tersebut.
Beliau berkata, platform debat adalah cara terbaik untuk menjawab tuduhan tidak berasas yang dilemparkan selama ini.
"Mereka boleh pusing macam mana, tetapi pengundi atas pagar akan ambil kira bila tidak berani berdebat maksudnya kamu (PN) tidak ada idea dan perancangan untuk ekonomi," ujarnya. - Sinar Harian
#debat ekonomi #Debat Rafizi-Azmin #Rafizi cabar Mohd Syahir #Mohd Syahir Che Sulaiman
;