PRN: Selangor tidak bubar DUN dalam masa terdekat atau sebelum raya - Amirudin
Mohd Zalani Md Atan
Januari 27, 2023 12:55 MYT
Januari 27, 2023 12:55 MYT
KUANTAN: Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, setakat ini perbincangan ke arah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masih berjalan, namun ia bukan mengenai membubarkan kerajaan.
"Kita sedang membincang, Insya-Allah dalam masa terdekat. Setakat ini saya boleh membayangkan tidak (bubar) dalam masa terdekat, sebab (mungkin) selepas Aidilfitri. Sebelum raya tidak ada pembubaran, kalau (saya) boleh confirmkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas berakhirnya mesyuarat dua hala Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ketika ditanya mengenai laporan kononnya Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkemungkinan dicadangkan sebagai Menteri Besar Selangor, Amirudin menjelaskan soalan itu perlu diajukan kepada pemimpin tersebut.
"Kena tanya dia (Tengku Zafrul)," ujar beliau lagi.