PRN Selangor: 'PM, TPM akan putuskan kerusi yang belum dimuktamadkan' - Amirudin
Ridauddin Daud
Jun 23, 2023 16:30 MYT
Jun 23, 2023 16:30 MYT
CHERAS: Pembahagian kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor hampir selesai dengan berbaki satu atau dua kerusi lagi yang belum dimuktamadkan.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan muktamad akan dibuat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, gabungan itu masih ada masa mencukupi untuk memuktamadkan calon dan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
“Biasa kita akan ambil masa. Saya lihat kita ada banyak masa. Sebahagian calon itu kita dah kumpulkan sejak sekian lama.
“Malahan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas pun kita dah pertimbang senarai calon kalau kita nak buat sekali.
“Ada penyandang kekal, ada penyandang tidak kekal, ada orang baharu masuk, ada orang baharu tak dapat masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, pada Jumaat.
Sementara itu, ketika ditanya penyertaan parti MUDA dalam PRN Selangor, Amirudin menegaskan Majlis PH akan memutuskannya dan beliau akur dengan sebarang keputusan.
DUN Selangor menyaksikan 56 kerusi dipertandingkan di mana dalam pilihan raya sebelum ini, PH dan BN memenangi 45 kerusi daripadanya.
Pada 19 Jun lalu, Amirudin berkata kedua-dua gabungan itu telah memuktamadkan kebanyakan rundingan kerusi bagi pilihan raya negeri.
Beliau juga berkata perbincangan sedang dijalankan untuk kerusi di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Terengganu.