PRN Selangor: Calon DUN N40 Kota Anggerik agresif bertemu pengundi

Fareez Azman
Ogos 4, 2023 17:44 MYT
Calon-calon yang bertanding di DUN Kota Anggerik iaitu (dari kiri) Mohamed Sukri Omar (PN-PAS), Mohd Najwan Halimi (PH-PKR), dan Azad Akbar (MUDA).
SHAH ALAM: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik antara kerusi tumpuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.
Astro AWANI turun meninjau perjalanan kempen tiga penjuru setiap calon yang berentap bagi kerusi DUN itu.
Penyandangnya, calon Pakatan Harapan (PH) Najwan Halimi tidak meremehkan calon saingannya, meskipun mempunyai kelebihan.
"Saya ambil maklum tentang saingan saya daripada Perikatan Nasional (PN) dan MUDA, saya tidak meremehkan kelebihan dan keupayaan calon lain.
"Pastinya saya sebagai penyandang kita ada trek rekod cemerlang. Bukti bukan sahaja di peringkat DUN Kota Anggerik, malah kerajaan negeri kita dah memenuhi mandat rakyat itu sehabis mungkin," kata Najwan.
Katanya lagi, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan ketika ini memberi nilai tambah untuk gabungan itu mengekalkan pentadbiran di Selangor.
"Sepanjang tiga penggal, bukti telah nyata rakyat beri keyakinan dan kepercayaan kepada PH. Ketika ini apabila berlaku jajaran baharu di peringkat Persekutuan.
"Insya-Allah dengan sokongan teman-teman dari BN, ada trek rekod mentadbir Negeri Selangor sebelum ini, kita akan buktikan gabungan ini yang terbaik untuk menjamin kelangsungan masa depan di Selangor," tambah Najwan.
Astro AWANI turut bertemu calon PN, Mohamed Sukri Omar yang juga Ketua Pemuda Pas Negeri Selangor.
Baginya, misi besar PN untuk merampas Selangor dijangka bermula dari DUN Kota Anggerik pada 12 Ogos ini.
"Misi kita memang besar iaitu mengambil alih negeri Selangor dan DUN Kota Anggerik salah satu DUN 'target' kita menangi.
"Insya-Allah melihat sokongan rakyat di DUN ini, kita ada peluang besar memenangi DUN ini; segalanya kembali kepada sokongan rakyat," katanya.
Bagi calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Azad Akbar Khan pula, beliau dilihat agresif dalam berkempen di sekitar DUN ini.
Jelasnya, beliau yakin warga Kota Anggerik akan memberi mandat kepada parti itu pada PRN kali ini.
"Setakat ini saya lihat warga tua dan warga emas banyak sokong kita sebab mereka telah lalui kehidupan mereka melihat berkali-kali bertahun-tahun ahli politik yang janji manis akhirnya tak 'deliver'.
"Mereka nak lihat benda baharu, iaitu kami (MUDA)," jelasnya.
Lebih 95,000 pengundi DUN Kota Anggerik bakal menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.
#DUN Kota Anggerik #Azad Akbar Khan #PRN Selangor #Najwan Halimi #Mohamed Sukri Omar
;