PRN: Sejarah bakal tercipta menerusi gabungan PH dan BN - PM Anwar
Madiha Abdullah
Julai 16, 2023 23:50 MYT
Julai 16, 2023 23:50 MYT
SEBERANG PERAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin sejarah bakal tercipta dalam Pilihan Raya Negeri akan datang khususnya di Pulau Pinang menerusi gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Bercakap pada Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang, Anwar berkata misi gabungan itu adalah untuk menyelamatkan dan mengangkat martabat Malaysia sebagai negara hebat dan ulung, dan bukan berpaksikan kuasa.
"Saya percaya kita akan tempa sejarah, dukungan rakyat kepada perpaduan luar biasa dari Pulau Pinang.
"Bayangkan, ini kali pertama dalam sejarah PH memerintah dan BN sebagai pembangkang kuat di Pulau Pinang, bergabung bukan semata untuk pertahan kuasa, seperti kata Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu), Anthony (Anthony Loke Siew Fook) kata susah, saya pun kata susah, berkali-kali buat rundingan tetapi kita bergabung juga berdasarkan prinsip untuk selamatkan negara.
"Untuk apa? Jaga tatakelola baharu, hentikan amalan lama. PH, Datuk Seri (Ahmad) Zahid Hamidi, UMNO dan BN, di Sarawak ada GPS dan Sabah ada GRS, semua setuju. Bukan nak pertahan kuasa.
"Ya, Yang di-Pertuan Agong bertitah, kerajaan tak boleh bolak-balik, mesti stabil. Kenapa stabil? Bukan untuk sakau... dalam al-Quran, bersatu itu mesti dengan prinsip, ada nilai dan akhlak," katanya ketika berucap di Tapak Ekspo Seberang Jaya, pada Ahad.
Anwar juga sekali lagi meluahkan keyakinan gabungan itu akan kekal kukuh jika mampu bersama menggembleng tenaga mencorak strategi yang ampuh bagi mendepani cabaran politik selepas ini.
"UMNO ada base yang kuat di kampung-kampung, DAP kuat di bandar, Keadilan ada campur sikit.
"Kalau PH dan BN ini ada strategi yang ampuh, kumpul kekuatan dari akar umbi untuk masa depan, tidak ada sesiapa mampu goyahkan kita, percayalah," katanya lagi.