PRN: 'Saya tak berniat pamer kertas undi' - Sanusi

Sinar Harian
Ogos 12, 2023 00:30 MYT
Muhammad Sanusi berkata kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya. - Foto media sosial
SIK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya kepada pihak media ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri pada Sabtu.
Sebaliknya, beliau berkata, kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.
"Bukan saya berniat mempamerkan kertas itu. Tapi bila kita pusing sini pusing sana (untuk mengambil gambar) kertas itu terbuka.
"Tak terniat saya untuk pamer. Tapi bila kelam-kabut melayani permintaan rakan-rakan wartawan, dia jadi macam itu," katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Dewan Muhammad Abduh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik di sini.
Petang tadi, tular gambar Muhammad Sanusi dengan kertas undi yang memaparkan pilihan beliau sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.
Perkara (39) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyebut tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.
Akta tersebut selanjutnya menyebut kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Mengulas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Jeneri, Muhammad Sanusi berkata, ini menggambarkan pengundi menolak kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
- Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor #pamer kertas undi #PRN #Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
;