SIK: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim mengakui sedang bertempur dengan gergasi politik di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun menurutnya, beliau menyifatkan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku terutamanya faktor landskap politik yang sedang berubah.

Apa yang lebih penting, katanya, adalah mengenai aspek tawaran yang mampu memancing hati pengundi di kawasan berkenaan.

“Saya sedar saya cuma semut merah yang menentang gajah. Bagaimanapun bola itu bulat dan dia akan bergolek (situasi politik)... jadi macam-macam boleh berlaku.

“Kalau kita ada visi yang jelas dan tawaran yang menarik, kita tidak perlu untuk menyerang dan bercakap soal orang, fitnah dan sebagainya. Insya-Allah pengundi di Jeneri boleh terima kerana Jeneri sudah terlalu lama ketinggalan dan merupakan daerah termiskin di Kedah,” katanya ketika ditemui ketika sesi santai petang bersama penduduk di sini, pada Selasa.

Bercakap mengenai cabaran memperoleh undian majoriti, Muhamad Khizri berkata, beliau akan menggunakan peluang semasa berkempen untuk bertemu dengan seramai mungkin pengundi.

Ujarnya, masih terdapat banyak perkara yang perlu diperjelaskan dan beliau sendiri menyifatkan wujud segelintir pengundi yang telah ‘memendam rasa’.

“Saya akan bertemu pengundi terutamanya kumpulan-kumpulan kecil dan saya buka ruang untuk sesi soal jawab, kadang-kadang ada yang tersimpan dalam hati (masalah) dan hanya terima melalui pihak ketiga.

“Kalau ada pertemuan terbuka begini mudah untuk pengundi tahu apa matlamat yang akan saya bawa dan bandingkan sendiri dengan kerajaan negeri yang sedia ada maka mudahnya untuk kita tarik sokongan kepada BN.

“Saya juga akan berjumpa dengan pihak yang menyokong di sebelah sana (PN) untuk perjelaskan apa matlamat yang saya cuba laksanakan, kerana bezanya di kawasan ini lebih tertumpu kepada isu setempat berbanding nasional,” katanya lagi.

Muhamad Khizri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik itu bakal bertembung dengan penyandang kerusi berkenaan yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelang 12 Ogos ini.