PRN: "Saya nak cakap orang Cina, India bukan musuh Melayu" - Anthony Loke

Fareez Azman
Ogos 10, 2023 23:35 MYT
Ujar Anthony Loke, rakyat perlu menolak sentimen perkauman yang cuba dimainkan parti politik demi mendapatkan undi rakyat. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
GOMBAK: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan rakyat negeri Selangor agar tidak termakan dengan sentimen yang cuba dimainkan musuh politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ketika ini.
Ujarnya, rakyat perlu menolak sentimen perkauman yang cuba dimainkan parti politik demi mendapatkan undi rakyat.
"Saya nak cakap pada malam ini orang Cina bukan musuh kepada orang Melayu. Orang Melayu bukan musuh kepada orang Cina, orang India bukan musuh kepada Melayu.
"Kita sama rakyat Malaysia, kita nak menyatu padukan seluruh rakyat Malaysia membawa Malaysia lebih hebat di seluruh dunia. Ini misi kita," jelasnya.
Tambah Loke lagi, rakyat perlu melihat usaha yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu rakyat sejak mentadbir negara ini.
"Perdana Menteri kita sedang berusaha mengangkat negara kita, martabat negara kita, kita dihormati sekarang pemimpin seluruh dunia datang ke Malaysia melawat negara kita berjumpa dengan PM. PM pergi ke mana dapat pujian dan hormat.
"PRN ini misi kita satu, nak stabilkan politik, kekal Selangor kita akan stabil lima tahun akan datang.
"Hari ini kita bersatu kita lihat merah bersama biru, kekuatan baru politik kita, PH dan BN berganbung kita ada kekuatan baru kita pastikan kekuatan ini bawa kemenangan Sabtu ini," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Grand Finale Kita Selangor di Keramat pada Khamis.
#Anthony Loke #Barisan Nasional #pilihan raya negeri #DAP
;