PRN: 'Saya harap kerajaan negeri tumpu peluang pekerjaan golongan muda' - Pengundi
Fareez Azman
Ogos 12, 2023 11:17 MYT
Ogos 12, 2023 11:17 MYT
PETALING JAYA: Lebih 2.8 juta pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka di 997 pusat pengundian di seluruh negeri Selangor pada Pilihan Raya Negeri(PRN) kali ini.
Bagi salah seorang pengundi muda, Nurain Nazuraa Mohd Ghazali, 28, dia mengharapkan agar mandat yang diberikan kepada pemimpin dan parti politik digunakan sebaik mungkin untuk rakyat.
“Saya berasa sangat bangga sebab dah tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Selangor.
“Saya pengundi muda, harap kerajaan negeri dapat beri bantuan kepada pengundi muda di Selangor terutama peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas Nurain, beliau bersama ibunya Hasnah Bujang dan kakaknya, Nurul Nadia bangun seawal jam 7 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Kompleks Kelana Jaya.
“Saya mahukan kerajaan negeri yang progresif yang lebih mementingkan rakyat agar kami anak muda lebih berjaya dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini,” jelasnya lagi.
Lebih 3.74 juta pengundi Selangor akan menunaikan tanggungjawab di 6,000 saluran pengundian di 997 pusat pengundian yang dibuka jam 8 pagi sehingga 6 petang Sabtu.