PRN Sarawak: Zuraida rayu penyokong Ali Biju sokong calon GPS di DUN Krian

Bernama
Disember 12, 2021 16:13 MYT
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin (kiri) berucap kepada para pengusaha tanaman koko pada majlis perasmian Kompleks Kluster Koko Sarawak di sini, hari ini. - Foto Bernama
SAMARAHAN: Ahli Majlis Pimpinan Tetinggi Bersatu Datuk Zuraida Kamaruddin menyeru dan meminta semua penyokong Datuk Ali Biju di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian untuk sama-sama memberi sokongan padu kepada calon GPS, Friday Belik.
Menteri Perusahaan dan Perladangan dan Komoditi itu berkata selepas berundur daripada pilihan raya berkenaan sebagai calon Bebas, Khamis lalu, Ali Biju sendiri telah meminta penyokongnya membantu Friday menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Disember ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Kluster Koko Sarawak sempena Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia 2021 di sini, hari ini.
Selain Friday, kerusi Krian juga ditandingi oleh calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Kuan Sam Sui.
Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata beliau bersedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia yand dahulunya dikenali Parti Pekerja Sarawak.
"Saya tak ada terima apa-apa tawaran lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, insya-Allah. Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak," katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Untuk rekod, pendaftaran Parti Bangsa Malaysia diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 27 Okt lalu dan bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng kini menjawat jawatan timbalan presiden baharu parti itu.
-- BERNAMA
#PRN Sarawak #sokongan calon GPS #DUN Krian #Zuraida Kamaruddin
;