PRN Sarawak: Warga Pelagus setia bersama GPS, tidak sedia pilih parti lain - Penyandang

Syafik Shukri Jalil
November 16, 2021 10:05 MYT
Tambahnya, penduduk kawasan itu juga tidak yakin untuk memilih parti lain kerana tidak ada parti yang akan mampu membentuk sebuah kerajaan di Sarawak selain GPS. FOTO: Astro AWANI
PELAGUS: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus tidak bersedia memilih calon atau parti lain bagi mewakili mereka menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Menurut penyandang kerusi DUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, dapatan itu diperolehi menerusi bancian dan lawatannya ke semua rumah panjang di kawasan tersebut.
“Saya sudah melawat ke semua rumah panjang dan saya juga melakukan bancian. Hasil bancian itu mendapati, mereka semua tidak bersedia untuk diwakili calon atau parti lain, selain dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Untuk itu saya harap mereka akan terus kekal bersama GPS,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, penduduk kawasan itu juga tidak yakin untuk memilih parti lain kerana tidak ada parti yang akan mampu membentuk sebuah kerajaan di Sarawak selain GPS.
Malah kesatuan yang diamalkan oleh rakan komponen dalam GPS terus memberi kepercayaan kepada mereka untuk terus mengundi gabungan tersebut.
“Penduduk di Pelagus tahu parti yang melawan itu kelak memang tidak dapat membentuk kerajaan.
“Ini kerana mereka (parti lain) tidak ada gabungan macam kami dan banyak bergerak secara persendirian atau hanya satu parti, lebih lebih lagi di kawasan luar bandar,” tambahnya.
Pada PRN11, Wilson daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) mencatat kemenangan dalam persaingan tiga penjuru apabila memperoleh 3,778 undi.
Beliau yang menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan calon DAP, Bendindang Manjah yang memperoleh 494 undi manakala calon BEBAS, Yong Sibat dengan 321 undi.
#PRN12 #Sarawak Memilih #Wilson Nyabong Ijang #Pelagus
;