PRN Sarawak: Warga Belaga mahu ADUN baharu perjuang aspek pendidikan

Syafik Shukri Jalil
November 27, 2021 18:16 MYT
Tidak menolak pembangunan infrastruktur, penduduk Belaga lebih berharap agar aspek pendidikan di daerah itu diberi keutamaan sewajarnya oleh ADUN baharu nanti - Astro AWANI
BELAGA: Pembangunan dalam aspek pendidikan perlu terus diberi perhatian oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dipilih untuk mewakili penduduk DUN Belaga.
Itu antara tuntutan utama yang diperjuangkan beberapa warga Belaga yang ditemui di Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Menurut Lattif Mohamad Lair, pembangunan infrastruktur yang berterusan wajar diimbangi dengan pembangunan modal insan yang berterusan.
“Saya mahu aspek pembangunan modal insan terus difokuskan khusus dalam aspek pendidikan anak-anak muda di sini.
“Kalau boleh mereka ini dibantu untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading dan memiliki kelulusan selayaknya.
“Dengan ini, mereka boleh kembali ke Belaga dan berkhidmat serta menyumbang bakti bagi daerah ini,” katanya.
Bagi Penghulu Masyarakat Cina Belaga, Peter Hoo Che Ham yang juga pesara guru, biarpun sudah ramai lepasan universiti di daerah itu yang kini berkhidmat sebagai guru, doktor dan sebagainya, namun ia perlu terus diperkasa.
Senada dengan Lattif, Peter Hoo mengharapkan golongan ini juga punya inisiatif untuk pulang ke Belaga dan memberi teladan yang baik kepada generasi pelapis.
“Anak-anak muda di sini ada yang sudah menamatkan pengajian dan menjadi guru, doktor dan sebagainya.
“Kejayaan seperti ini pasti lebih baik sekiranya dapat dikongsikan bersama belia-belia di sini untuk dicontohi.
“Untuk itu, kerajaan juga harus terus memperkasa dan ada inisatif berterusan bagi menjayakan agenda ini,” ujarnya.
Manakala bagi Ketua Masyarakat Kaum Kejaman, Jackson Kubang Luring, pembangunan daripada aspek infrastruktur pendidikan yang disediakan kerajaan di Belaga perlu terus dipertingkat.
Mantan guru besar itu berkata, hal ini bagi membolehkan aspirasi melahirkan belia berpendidikan tinggi dapat direalisasikan.
“Sebagai contoh di sekolah rendah, perlu lagi dinaiktaraf kerana walaupun bilangan guru dan pekerja sudah mencukupi namun kemudahan yang sempurna wajar disediakan.
“Ini amat perlu bagi meningkatkan tahap pencapaian pendidikan di sini dan saya rasa ia motivasi yang baik dalam melahirkan anak muda yang minat untuk belajar,” katanya lagi.
#PRN Sarawak #DUN Belaga #masyarakat Cina Belaga #pendidikan
;