PRN Sarawak: Warga Baleh mahukan ADUN cemerlang seperti mendiang Masing
Syafik Shukri Jalil
November 8, 2021 15:44 MYT
November 8, 2021 15:44 MYT
BALEH: Pemergian mendiang Tan Sri James Jemut Masing merupakan satu kehilangan besar buat komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.
Manakan tidak, selepas hampir 38 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, banyak perubahan dilakukan seiring memastikan penduduk di sana tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan.
Biar berdepan cabaran dalam membangunkan kawasan yang dikelilingi bukit bukau dan hutan menghijau itu, nama mendiang tetap diingati sebagai seorang pemimpin hebat dan cemerlang sepanjang perkhidmatannya.
Bagi Depa Elong yang merupakan penduduk Rumah Panjang Wong Nanga Sepata, tiada apa yang dimahukan selain melihat pengganti sehebat mendiang Masing.
“Saya sangat sedih atas pemergian mendiang kerana terlalu banyak jasa dicurahkan kepada kami di sini.
“Beliau (mendiang) banyak melakukan perubahan di sini seperti menyediakan infrastruktur seperti jalan raya dan memperluaskan bekalan elektrik.
“Pastinya kami menginginkan pengganti yang bagus dan cemerlang seperti mendiang,” katanya.
Bagi Lamau Jinggut yang merupakan Tuai Rumah Lamau Jinggut, usaha mendiang Masing dalam menyediakan jaringan jalan raya menghubungkan Baleh ke Kapit antara jasanya yang akan dikenang sampai bila-bila.
Malah keperibadiannya yang mudah didekati membuatkan warga Baleh tidak pernah merasa kekok apabila perlu berurusan dengannya.
“Dengan jalan raya yang dibina dibawan pentadbirannya, ia membantu memendekkan perjalanan kami untuk ke bandar Kapit dan ke tempat-tempat lain.
“Selain itu, bagi saya mendiang seorang yang tajam pemikiran, sangat mudah menghulurkan bantuan dan merendah diri.
“Jadi pada pendapat saya, pengganti mendiang mestilah seorang yang berpengalaman dan faham akan situasi yang didepani masyarakat di sini,” ujarnya.
Manakala bagi Unggang Anda yang merupakan Tuai Rumah Unggang Anda, sifat rendah diri dan tidak lupa akan asal usul adalah sikap terpuji mendiang Masing.
Malah baginya, adalah sukar untuk mencari pengganti yang bagus seperti mendiang Masing.
“Mendiang memang tidak sombong dan sangat mencintai asal usulnya.
“Sebab itu saya cakap susah untuk cari pemimpin hebat sepertinya namun saya berharap pengganti yang akan dinamakan bagi mewakili DUN kami mampu berkhidmat dengan cemerlang,” katanya lagi.
Mendiang Masing, 72, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Normah., Kuching pada Ahad (31 Oktober).
Mendiang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 28 September kerana jangkitan COVID-19 dan kemudian dipindahkan ke Pusat Perubatan Pakar Normah.