PRN Sarawak: Wan Abdillah ikrar bantu B40, golongan miskin
Hasimi Muhamad
Disember 8, 2021 14:13 MYT
Disember 8, 2021 14:13 MYT
SRI AMAN: Membela nasib golongan B40 dan isu kemiskinan antara inisiatif yang bakal digariskan dalam manifesto bagi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Menurut calonnya, Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman, pengalaman bergiat aktif sebagai aktivis sosial sejak 12 tahun lalu memberi pendedahan kepadanya berhubung nasib rakyat yang masih belum dapat ditangani, setakat ini.
Justeru, beliau berpandangan, apa yang perlu dilakukan untuk membela golongan itu bukan hanya sekadar bantuan kewangan, sebaliknya membimbing mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Selain memberikan bantuan kewangan, kita bagi mereka 'pancing'. Kita mendidik mereka untuk belajar berdikari. Ia bukan pilihan untuk menjadi miskin, jangan kita kata orang kita malas... tidak. (Sebaliknya) buat sesuatu untuk mereka.
"Buat sesuatu yang boleh membantu mereka. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu perkara kerana kekangan, (dan) bukan semua orang berpendidikan.
"Jadi apa fungsi wakil rakyat dalam kawasan pilihan raya? Sudah tentu anda tidak boleh harapkan wakil rakyat untuk bekerja sendiri (kerana) anda memerlukan pasukan. Maka, dapatkan mereka yang profesional untuk bekerja dalam pasukan anda dan dalam kepakaran yang berbeza untuk menyelesaikan (isu) yang boleh diselesaikan," katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Wan Abdillah berkata, banyak lagi pembangunan infrastruktur asas yang perlu disediakan di Lingga bagi kemudahan penduduk di kawasan itu.
Dakwanya, beliau tidak melihat sebarang perubahan yang dilakukan di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, Wan Abdillah tidak mahu menuding jari atau melihat kelemahan mana-mana pihak, sebaliknya beriltizam untuk membuat pembaharuan di DUN Lingga.
Pada PRN11, Wan Abdillah tewas kepada Datuk Simoi Peri yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
"Keputusan pilihan raya (2016) keluar hari Sabtu, hari Ahad saya sudah turun padang bekerja balik.
"Bagi saya itu adalah cara hidup saya.. saya tak boleh duduk diam, dan saya tidak boleh lihat perkara yang tidak betul sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Bagi saya, saya sangat ambil berat kepada rakyat.
"Kalah, bukan bermakna saya berhenti di situ. Ini kerana, hati dan jiwa saya adalah bersama rakyat," ujarnya lagi.
Ditanya mengenai ketiadaan kemudahan asas seperti balai bomba dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM), Wan Abdillah mempersoalkan kegagalan pihak berkaitan untuk menyediakan fasiliti tersebut di Pekan Kecil Lingga.
"Ia sesuatu yang pelik, anda dalam jawatan, dan boleh akses kepada semua agensi kerajaan untuk mendapatkan apa yang anda perlukan.
"Sebagai contoh di Lingga, tiada balai bomba. Jadi, jika tengah malam tiba-tiba rumah terbakar (dan) jarak untuk bergerak dari sini (Sri Aman) ke kawasan itu agak jauh.
"Kedua, kalau tiada talian telekomunikasi di kawasan itu, maka rumah itu akan hangus terbakar dan ia melibatkan nyawa orang lain.
"Jadi, saya rasa ia sepatutnya diberikan keutamaan," katanya lagi.
Pada PRN12, kerusi DUN Lingga bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan muka baharu, Dayang Noorazah Awang Sohor untuk menggantikan penyandangnya, Simoi bagi mempertahankan DUN Lingga.
Selain Wan Abdillah, empat lagi calon yang bakal membei saingan kepada calon GPS ialah Abang Abdul Kassim Abang Bujang dari PKR; Baha Imam dari Parti Bumi Kenyalang (PBK); Abang Mohd Sepian Abang Daud dari Parti Sedar Sarawak (SEDAR); serta Mohd Sepian Abang Daud (Bebas).