PRN Sarawak: Usah berat sebelah, berbaktilah demi rakyat - Nasihat ayah calon DUN Lingga
Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 3, 2021 19:30 MYT
Disember 3, 2021 19:30 MYT
KUCHING: Penampilan sulung bakal calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mencuri tumpuan dalam pentas Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN) Sarawak kali ini.
Dia dinamakan bakal calon mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sekali gus mengekalkan calon wanita di kawasan tersebut yang akan mempertahankan kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Walaupun disenaraikan dalam calon muda, wanita berusia 33 tahun ini sebenarnya sudah lama mendedahkan dirinya dan berkecimpung dalam dunia politik di Sarawak.
Menurut ayahnya, Awang Sohor Awg Apek, pengalamannya yang pernah terlibat dalam politik sejak tahun 1968, mendorong anak kelima dari enam adik-beradik itu untuk mendalami perjuangannya dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Dia memang sudah terlatih dengan kepimpinan sebagai seorang ahli politik daripada saya sejak kecil dan saya sendiri dalam dunia politik sudah lama bahkan sejak tahun 1968 lalu.
“Daripada itu anak-anak saya sentiasa melihat dan mengikuti perkembangan saya semasa menjadi ahli politik maka daripada itu juga mudah untuk mereka menyesuaikan diri dalam apa jua situasi politik termasuk dalam kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada Astro AWANI selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Calon GPS di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, sebagai veteran politik, Awang Sohor berharap anaknya sentiasa mempamerkan karakter pemimpin yang bersifat terbuka dan mudah mendekati rakyat.
“Sama ada sekarang atau untuk masa akan datang, saya percaya beliau akan sentiasa melakukan yang terbaik, untuk masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
“Di DUN Lingga ini, masyarakatnya memiliki berbagai kepercayaan dalam agama dan budaya, maka pesan saya untuk jangan sesekali memihak kepada satu kaum sahaja, berbaktilah atas nama rakyat,” katanya.
Kerusi DUN Lingga sebelum ini disandang oleh Datuk Simoi Peri selama tiga penggal sejak 2006.
Terdahulu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari mengumumkan sebanyak 24 muka baharu akan ditampilkan GPS bagi berentap menjelang PRN12 pada 18 Disember ini.
Ia termasuk kerusi DUN yang disebut-sebut sebelum ini iaitu Lingga dan Tanjung Datu juga diwakili calon muda, Azizul Annuar Adenan.