PRN Sarawak: Undi awal di IPD Kapit berjalan lancar
Syafik Shukri Jalil
Disember 14, 2021 09:10 MYT
Disember 14, 2021 09:10 MYT
KAPIT: Proses pengundian awal bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram berjalan lancar setakat jam 9 pagi ini.
Bagi proses tersebut, ia dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 5 petang.
Menurut Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Cerisologo Sabut, seramai 96 anggota polis dan isteri akan menunaikan tanggungjawab hari ini.
“92 anggota dan pegawai terlibat akan melakukan mengundi pada hari ini dan empat yang lain sudah mengundi secara pos.
“Pusat mengundi ini akan terus dibuka dan diharap semua pengundi yang disenaraikan sempat menunaikan tanggungjawab sebelum jam 5 petang,” katanya.
Proses pengundian awal ini dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan SPR.
Seramai 20 petugas juga bertugas di sini bagi melancarkan proses pengundian sepanjang hari ini.
Untuk rekod, 23,043 pengundi akan mengundi awal membabitkan 69 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Ia membabitkan 10,458 anggota dan pegawai polis serta pasangan manakala bakinya membabitkan anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).