PRN Sarawak: 'Tunggu perintah darurat ditarik balik' - Abang Jo

Astro Awani
Oktober 22, 2021 19:22 MYT
Abang Johari berkata, ketika ini kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan bagi mengadakan PRN kerana negeri itu masih berada di bawah Perintah Darurat sehingga 2 Februari 2022. - Gambar/ Astro AWANI
KUCHING: Sarawak hanya menunggu Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 ditarik balik sebelum membuat sebarang pengumuman mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Tambahnya, ketika ini kerajaan negeri masih belum membuat sebarang keputusan bagi mengadakan PRN kerana negeri itu masih berada di bawah Perintah Darurat sehingga 2 Februari 2022.
Malah katanya, sebarang keputusan mengenai pelaksanaan PRN bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
‘’Ya terpulang kepada SPR kerana kita (kerajaan negeri) tidak menentukan keputusan tersebut.
‘’Kita (Sarawak) masih berada di bawah Perintah Darurat dan sekiranya ia ditarik balik, barulah kita (kerajaan negeri) boleh membuat keputusan mengenainya (PRN dan pembubaran DUN),’’ katanya.
BACA: PRN Sarawak: 'Saya serba salah, kalau teruskan orang kata ...' - Abang Jo
BACA: Agong penentu bila PRN Sarawak - Annuar Musa
Terdahulu, Proklamasi Darurat yang berakhir di seluruh negara pada 1 Ogos 2021 diteruskan di Sarawak hingga 2 Februari 2022.
Ia selepas satu proklamasi baharu telah dipersetujui Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pada Khamis lalu dan diterbitkan dalam warta kerajaan pada 30 Julai lalu.
BACA: COVID-19: Darurat di Sarawak hingga 2 Februari 2022
BACA: Proklamasi Darurat: Ordinan baharu khusus untuk Sarawak - Speaker DUN
Menurut warta tersebut, Seri Paduka Baginda yang merupakan ketua utama negara bagi negeri-negeri dan wilayah-wilayah Malaysia menzahirkan rasa puas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan adalah diancam berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu COVID-19.
PRN Sarawak | Sarawak pada kuasa Agong – Annuar
#PRN Sarawak #Ordinan Darurat #Suruhanjaya Pilihan Raya #Abang Johari Tun Openg
;