PRN Sarawak: Tunggu pengumuman bubar DUN dalam sehari dua - Abdul Karim

Shafik Ahmad
Oktober 21, 2021 13:34 MYT
Menurut Abdul Karim, meskipun negara berdepan masalah COVID-19 namun mandat perlu diberikan semula kepada rakyat. Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: ‘Tunggu pengumuman mengenai pembubaran dalam masa sehari dua ini’.
Demikian bayangan yang diberikan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Sejak semalam tumpuan diberikan ke arah Sarawak apabila desas-desus mengatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan dalam masa terdekat.
“Saya rasa apa yang dirasai oleh pihak media itu juga dirasai oleh kami. Bahangnya sudah terasa kemungkinan dalam sehari dua kita akan mendengar berkenaan dengan pembubaran dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas taklimat projek jalan pesisir di Dewan Kampung Tambirat dekat Asajaya pada Khamis.
BACA: DUN Sarawak dibubar Jumaat ini?
BACA: PRN Sarawak: Beduk hampir berbunyi, saya serah kepada 'kitak' untuk menilai - Abang Jo
Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak itu, meskipun negara berdepan masalah COVID-19 namun mandat perlu diberikan semula kepada rakyat.
Ini katanya untuk menentukan kerajaan yang memerintah untuk lima tahun akan datang.
“Kita mesti memberikan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu.
“Ya tidak dinafikan semua negara di dunia menghadapi masalah COVID-19, kita yakin dapat mengawal isu ini dengan baik kerana kalau kita lihat walaupun tidak nampak banyak tetapi 98 ke 99 peratus yang positif adalah tidak bergejala,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu mengelak dari melaksanakan Undi18 pada pilihan raya negeri, kata Abdul Karim itu hanya modal politik blok pembangkang.
“Itu hanya omong-omong dari pihak pembangkang.. bagi saya Undi18 tidak ada masalah. Kalau tidak dapat dilaksanakan dalam pilihan raya negeri kita akan memilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
“Pembangkang akan menggunakan alasan..mereka akan kata kita takut Undi18..kita tidak takut kerana bukan semua Undi18 akan pergi kepada mereka dan bukan semua juga akan pergi kepada kita (GPS),” tegasnya.
Untuk rekod, tempoh penggal DUN Sarawak telah berakhir pada 6 Jun lalu namun pembubaran ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari tahun depan.
#PRN Sarawak #Pembubar DUN Sarawak #Abdul Karim Rahman Hamzah #PRN COVID-19
;