PRN Sarawak: Tun Abdul Taib berbaju batik buang undi
Hasimi Muhamad
Disember 18, 2021 12:25 MYT
Disember 18, 2021 12:25 MYT
KUCHING: Tun Abdul Taib Mahmud selesai membuang undi di Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS, di sini pada pukul 11.46 pagi.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu tiba di pusat mengundi tersebut sekitar 11.40 pagi, dan turut ditemani isteri, Toh Puan Patinggi Ragad Kurdi Taib.
Bekas Ketua Menteri Sarawak itu yang memakai baju batik membuang undi di saluran satu bagi memilih wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.
Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut membuang undi di lokasi sama.
Dianggarkan hampir 3,000 pengundi akan menjalankan tanggungjawab di Pusat Mengundi Kompleks Sukan Satok, membabitkan sembilan saluran mengundi.
Secara keseluruhan, 10 pusat mengundi dibuka di DUN Satok, melibatkan seramai 14,314 pengundi.
DUN Satok, yang sebelum ini disandang oleh Abang Johari, kini diwakili Datuk Ibrahim Baki daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selain Ibrahim, dua lagi calon akan merebut kerusi tersebut ialah Awang Badele Awang Ali (PBK), dan Dr Nor Irwan Ahmad Nor (PKR).
Setakat pukul 11 pagi, peratusan keluar mengundi di DUN Satok adalah sebanyak 24.6 peratus.