PRN Sarawak: Tiong tepati ramalan menang di Dudong, tewaskan tujuh yang lain

Bernama
Disember 18, 2021 22:32 MYT
Tiong King Sing yang bertanding pertama kali di DUN Dudong mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti 5,806 undi menewaskan tujuh lagi pencabarnya. - Foto Astro AWANI
SIBU: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing hari ini menepati ramalan apabila berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Meskipun bertanding pertama kali di kawasan itu, Tiong, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh majoriti 5,806 dengan jumlah undi 9,390, meninggalkan jauh tujuh lagi pencabarnya dalam persaingan lapan penjuru.
Beliau menewaskan Wong Hie Ping daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 3,584 undi, Jane Lau Sing Yee daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang memperoleh 1,779 undi, Paul Ling Fong daripada DAP (2,724), calon Bebas Fadhil Mohd Isa (1,178), Julius Enchana Jaspher Ancho daripada Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (893) dan Josephine Lau Kiew Ping mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) yang memperoleh 212 undi.
Seorang lagi calon Bebas Engga Unchat yang dilapor mengumumkan menarik diri daripada bertanding pada PRN Sarawak semalam pula memperoleh 225 undi.
Keputusan rasmi kerusi DUN berkenaan diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Razak Awang Bini di pusat penjumlahan rasmi undi di Perpustakaan Awam Sibu Jaya.
Peratusan keluar mengundi 58.23 direkodkan bagi kawasan itu dan 298 kertas undi ditolak.
DUN Dudong sebuah kawasan pinggir bandar yang terletak di bawah Parlimen Sibu, memiliki seramai 34,955 pengundi berdaftar.
-- BERNAMA
#PRN Sarawak #Datuk Seri Tiong King Sing #Gabungan Parti Sarawak GPS #Parti Demokratik Progresif PDP
;