PRN Sarawak: Tiga ahli Bersatu bertanding Bebas dipecat

Afiezul Samit
Disember 13, 2021 13:35 MYT
Pengerusi Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaff mengesahkan keanggotaan tiga ahli parti itu iaitu Siki Balarik, Ismawi Muhammad dan Ricky Enteri digugurkan secara automatik kerana melanggar perlembagaan parti. - Astro AWANI
KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak tidak mempunyai pilihan lain selain melucutkan keanggotaan tiga ahlinya yang bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Pengerusi Bersatu Sarawak, Senator Jaziri Alkaff ketika dihubungi Astro AWANI berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkara yang termaktub di dalam perlembagaan parti.
Katanya, meskipun telah diberi amaran sebelum dan semasa hari penamaan calon, namun mereka tetap enggan akur dengan arahan pucuk pimpinan.
"Mengikut perlembagaan Bersatu sekiranya terdapat mereka yang menjadi calon tanpa kebenaran daripada peringkat pusat maka mereka akan digugurkan.
"Kami juga telah kedua kita telah memberi amaran awal sebelum hari penamaan calon.
"Malah selepas dari penamaan calon juga kamu sudah memujuk untuk mereka menarik diri tetapi mereka enggan," ujarnya.
Tiga ahli yang digugurkan secara automatik itu ialah Siki Balarik yang bertanding di Belaga, Ismawi Muhammad (Muara Tuang) dan Ricky Enteri (Bawang Assan).
Ketiga-tiga mereka bukan lagi ahli Bersatu dan akan bertanding menggunakan tiket Bebas.
Sebelum ini kita turut dikejutkan dengan kehadiran Datuk Ali Biju yang hadir sebagai calon Bebas di kerusi DUN N.39 Krian.
Namun, selepas empat hari penamaan calon, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada terus bertanding.
Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN12 Sarawak untuk memberi laluan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
#PRN Sarawak #Bersatu pecat ahli #calon Bebas #Datuk Ali Biju
;