PRN Sarawak: 'Tidak perlu pangkah saya... pangkah GPS' - Ali Biju

Hasimi Muhamad
Disember 10, 2021 21:48 MYT
Menurut Ahli Parlimen Saratok, beliau akan mula berkempen dan bergerak ke rumah-rumah panjang pada 12 Disember ini untuk membantu kempen Friday. - Gambar fail
SARATOK: "Tidak perlu pangkah saya... pangkah GPS."
Demikian jaminan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju untuk memastikan penyokong-penyokongnya memberikan sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Friday Belik pada 18 Disember ini.
Menurut Ahli Parlimen Saratok, beliau akan mula berkempen dan bergerak ke rumah-rumah panjang pada 12 Disember ini untuk membantu kempen Friday dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
"Seperti saya katakan tadi saya akan bergerak pergi ke kampung-kampung dan rumah panjang, serta menerangkan kepada pengundi-pengundi saya sendiri mengenai kertas tersebut (undi) supaya tak perlulah pangkah saya... (sebaliknya) pangkah GPS.
"Ini akan saya buat apabila saya berjumpa dengan akar umbi. Jentera saya juga akan buat benda yang sama dan setiap rumah panjang akan diterangkan supaya tidak memangkah saya," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Mengulas lanjut, Ali yakin dengan sokongan padu, Friday mampu menang pada pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, Ali enggan mengulas sebarang spekulasi sekiranya beliau memenangi kerusi tersebut pada PRN12 Sarawak.
"Kalau GPS menang adalah kemenangan saya. Ini adalah pakatan strategik yang kita perlu perkukuhkan," ujarnya lagi.
Terdahulu, Ali mengumumkan penarikan dirinya sebagai calon Bebas di DUN Krian, kurang 24 jam selepas Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membuat kenyataan tegas yang beliau amat kecewa dengan tindakan beliau.
Ali memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai Bersatu selepas 'Langkah Sheraton'.
Berikutan penarikan diri Ali, persaingan di DUN Kerian hanya melibatkan calon GPS, Friday, Musa Dinggat (PSB) dan Danny Kuan (PBK).
#ali biju #PRN Sarawak #Bersatu #calon GPS
;