PRN Sarawak: Tiada pertembungan kerusi bukti setiakawan parti komponen PH

Shafik Ahmad
Disember 3, 2021 22:21 MYT
DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah berkerjasama rapat dalam menghadapi perjuangan mendapatkan tampuk pemerintahan negeri ini. - Astro AWANI
KUCHING: Kerjasama rapat dan semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terbukti apabila tiada pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, perkara itu juga membuktikan kesatuan antara tiga parti komponen itu.
Menurutnya, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah berkerjasama rapat dalam menghadapi perjuangan mendapatkan tampuk pemerintahan negeri ini.
"Tidak ada pertembungan antara PH Sarawak dan ia membuktikan kesatuan dalam komponen ini. Kami berdiri atas satu tujuan dengan misi yang sama iaitu menewaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pemimpin DAP bersama rakyat di perkarangan Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini pada Jumaat malam.
Chieng Jen menyeru rakyat agar membuat penilaian yang bijak dalam memastikan perancangan PH untuk membangunkan negeri di atas laungan ‘Sarawak Maju’ dapat direalisasikan.
Pada PRN12 kali ini, DAP menurunkan 26 calon manakala PKR pula akan meletakkan 27 calon sementara Amanah masih belum mengumumkan calon mereka.
#Tiada pertembungan kerusi PH #PRN Sarawak #Chong Chieng Jen #PKR
;