PRN Sarawak: Temu bual 'terjah' tidak dibenarkan di pusat mengundi - SPR

Hasimi Muhamad
Disember 5, 2021 16:19 MYT
Terdahulu, SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN12 Sarawak.
KUCHING: Petugas media tidak dibenarkan untuk melakukan temu bual secara 'terjah' atau di luar masa yang ditetapkan di pusat-pusat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Sebaliknya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, sesi sidang media atau temu bual hanya akan ditetapkan oleh suruhanjaya tersebut bagi memastikan pematuhan penjarakan fizikal
"Temu bual secara spontan (terjah) atau di luar masa yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan.
"Hanya wartawan yang telah lengkap menerima vaksin dibenarkan hadir ke sesi sidang media atau temu bual dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal," demikian kata SPR menerusi SOP Pencegahan COVID-19 PRN Sarawak, pada Ahad.
Jelas SPR lagi, wartawan yang bergejala, positif COVID-19 atau kontak rapat kepada kes positif turut dilarang menghadiri sesi berkenaan.
Selain itu, SPR memaklumkan bilangan laluan masuk ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) juga dihadkan bagi tujuan kawalan.
"Khemah di luar dewan (untuk petugas pilihan raya) disediakan dengan jumlah kapasiti minimum di dalam setiap khemah dan mengekalkan penjarakan fizikal.
"Hanya lima orang penyokong bagi calon yang menang dan tiga orang penyokong calon lain yang bertanding dibenarkan hadir ke PPRU. Kebenaran untuk masuk ke PPRU akan dimaklumkan dan pas masuk diedarkan oleh Pegawai Pengurus sebelum pengumuman keputusan pilihan raya dibuat," ujar SPR.
Dalam masa yang sama, SPR berkata sebarang acara sambutan atau majlis keraian kemenangan calon adalah tidak dibenarkan.
Terdahulu, SPR menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN12 Sarawak.
Manakala, hari mengundi awal ditetapkan pada 14 Disember, dan penamaan calon adalah pada 6 Disember (esok).
#Suruhanjaya Pilihan Raya #SOP PRN Sarawak #COVID-19 #Sarawak Memilih
;