PRN Sarawak: Tarikh penting bersesuaian, perlu ada strategi capai peratusan sasaran pengundi
Nursyazwani Saiful Sham
November 24, 2021 13:08 MYT
November 24, 2021 13:08 MYT
KUALA LUMPUR : Penetapan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dilihat bersesuaian dengan sambutan perayaan Krismas akan datang.
Menurut Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal, ia membuka peluang kepada rakyat Sarawak yang berada di semenanjung untuk pulang ke Sarawak bagi menunaikan tanggungjawab mereka dan pada masa sama meraikan krismas bersama keluarga.
“Apa yang digariskan dalam mesyuarat PRN Sarawak memberi ruang yang cukup untuk mana-mana pihak bersedia.
“Kalau kita lihat dari tarikh writ sehingga hari penamaan calon dan hari pengundian, pastinya sudah digariskan beberapa garis panduan yang ditetapkan bersesuaian dengan perayaan Krismas.
“Jadi ia sekali gus membolehkan masyarakat dan pengundi di Semenanjung untuk pulang ke Sarawak dan menunaikan tanggungjawab dan pada masa sama meraikan perayaan Krismas bersama keluarga,” katanya dalam segmen khas Sarawak Memilih siaran Astro AWANI pada Rabu.
Bagaimanapun, jelas Dr Ammar harga tiket penerbangan yang mungkin meningkat menjelang hari pengundian dan perayaan Krismas akan mengganggu penyertaan rakyat untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Sehubungan itu, parti politik digesa untuk menggariskan strategi bersesuaian dalam memastikan peratusan keluar mengundi itu melebihi 50 peratus bagi mengelakkan isu legitimasi.
“Kalau kita lihat kepada tarikh perayaan itu, harga tiket penerbangan akan “meroket” dan menyebabkan mereka sudah membeli tiket penerbangan dengan lebih awal.
“Ia sekali gus dilihat akan mengganggu partisipasi rakyat untuk mengundi dan ini mungkin akan menjadi cabaran kepada parti bertanding untuk tetapkan strategi bersesuaian bagi memastikan pengundian yang dilakukan dapat peratusan yang bersesuaian.
“Peratusan itu dilihat perlu melebihi 40 hingga 50 peratus untuk mengelakkan timbulnya masalah legitimasi apabila kerajaan negeri ditubuh nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Dis.