PRN Sarawak: Tarik diri jadi calon PSB, Abang Ahmad Ridzuan diselar rakan separti

Shafik Ahmad
November 18, 2021 15:19 MYT
Wan Abdillah Edruce (gambar) menyelar tindakan Abang Ahmad Ridzuan yang menularkan surat yang dihantarnya kepada Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh - Facebook/Dato Wan Abdillah Al Edruce.
KUCHING: Gelanggang belum dibuka, sudah awal mengalah. Demikian sindiran calon Parti Sarawak Bersatu (PSB-Lingga), Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman yang kesal dengan tindakan bekas pensyarah Dr Abang Ahmad Ridzuan Abang Awit yang menarik diri daripada menjadi calon di Beting Maro.
Kata Wan Abdillah, setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan keikhlasan dalam membantu rakyat.
"Kalau nak bantu rakyat biar ikhlas dan jangan ada agenda peribadi, beliau (Dr Abang Ahmad) yang menawarkan diri untuk menjadi calon namun tidak membuktikan kemampuannya.
"Berapa kerap beliau turun padang dan mendekati masyarakat di Beting Maro?
"Alasan demi alasan diberikan apabila ditanya sehingga 'team' yang ditubuhnya bertanya dimana beliau tidak turun padang," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Wan Abdillah berkata, Abang Ahmad tidak perlu mengumumkan mengundur diri kerana calon PSB untuk kawasan DUN Beting Maro masih belum diumumkan.
BACA:PRN Sarawak: Abang Ridzuan tarik diri wakili PSB di DUN Beting Maro
Menurutnya, untuk berjaya dalam setiap bidang memerlukan usaha sendiri dan bukannya mengharapkan pihak lain bekerja.
“Walau apa pun parti, calon mahupun calon berpotensi perlu membuktikan kepada parti meskipun dana atau peruntukan yang diberikan kurang atau tidak sama, ini adalah tradisi, kalau nak berjaya kena buktikan dahulu yang kita mampu,” katanya.
Mengulas mengenai surat penarikan diri yang ditujukan kepada Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, beliau berkata ia mencerminkan karakter sebenarnya.
"Surat yang dihantarnya kepada presiden parti sepatutnya sulit dan tidak ditularkan seolah-olah meraih simpati.
"Sejujurnya apa yang beliau lakukan mencerminkan karakternya. Jangan suka mencari kelemahan orang lain dan lihat cermin," jelasnya.
Wan Abdillah turut mempersoalkan motif Abang Ahmad Ridzuan melakukan sedemikian memandangkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) semakin hampir.
"Pembunuhan karakter sudah berleluasa dan ada yang berniat untuk menjadi calon dan sanggup buat apa sahaja," tegasnya.
#PRN Sarawak #Parti Sarawak Bersatu PSB #Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman #Dr Abang Ahmad Ridzuan Abang Awit
;