PRN Sarawak: Taraf hidup, kebajikan rakyat antara manifesto Kelvin untuk DUN Batu Kawah

Afiezul Samit
Disember 12, 2021 15:33 MYT
Pembangunan sedia ada tidak akan ditentang malah disokong untuk diteruskan demi kepentingan penduduk Batu Kawah.
KUCHING: Calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) DUN Batu Kawah Dr Kelvin Yii Lee Wuen hari ini mengumunkan manifestonya yang mempunyai lima teras utama.
Ujarnya, pembangunan sedia ada tidak akan ditentang malah disokong untuk diteruskan demi kepentingan penduduk Batu Kawah.
Malah Kelvin dalam manifesto beliau akan memberikan tumpuan kepada pembangunan yang memberikan manfaat secara berterusan.
"Mungkin kita lihat bangunan yang cantik tetapi rakyat di sekitar tinggal rumah yang masih usang.
"Ada yang tiada kerja, tidak cukup duit untuk beli makanan untuk keluarga dan anak-anak muda yang tiada duit membeli rumah sendiri," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching menyifatkan kemajuan sesuatu kawasan tidak boleh diukur dengan pembinaan bangunan, sebaliknya perlu mengambil kira taraf hidup dan kebajikan masyarakat.
Katanya, perkara pertama yang harus dilakukan adalah dengan memberi sokongan kepada usahawan tempatan.
Selain mampu untuk memastikan bekalan makanan mencukupi, ia juga akan melihat potensi untuk pertanian sehingga membuka peluang pekerjaan yang baru.
Selain itu, kebajikan untuk golongan tertentu seperti warga emas, wanita dan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut akan diberi perhatian dengan penubuhan satu kumpulan untuk memantau kebajikan mereka.
Seterusnya adalah mengasah bakat penduduk Batu Kawah dan mengalakan masyarakat untuk terlibat dalam kesukarelawan.
"Saya akan mewujudkan ketua komuniti seperti rukun tetangga untuk menjaga keharmonian kawasan.
"Ini penting untuk kita jaga masyarakat di Batu Kawah dengan program kesihatan, bantuan kesihatan mental, kejiranan dan sebagainya,"ujarnya.
Teras terakhir yang diberi perhatian adalah dengan meningkatkan taraf hidup yang lebih baik dari segi pemilikian rumah.
Malah Kelvin juga akan terus melihat isu banjir kilat yang sering belaku di kawasan tersebut.
Lima teras manifesto Dr Kelvin Yii Lee Wuen adalah:
(1) Menyokong ekonomi tempatan dan meningkatkan taraf hidup.
(2) Menjaga kebajikan warga emas, wanita dan kanak-kanak.
(3) Inisiatif membangunkan kemahiran bakat tempatan.
(4) Memperkasakan komuniti kesukarelawanan.
(5) Mewujudkan taraf hidup yang lebih baik.
#Manifesto Batu Kawah #Angkat kebajikan rakyat #PRN Sarawak #Dr Kelvin Yii
;