PRN Sarawak: SPR perlu sediakan SOP realistik - Uggah
Fadilah Sulaiman
November 12, 2021 17:36 MYT
November 12, 2021 17:36 MYT
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang realistik untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak lama lagi.
Kata Uggah SOP tersebut penting bagi menyeimbang aspek kesihatan tanpa menidakkan amalan demokrasi agar aktiviti pilihan raya termasuk berkempen dapat dilaksanakan tanpa menimbulkan gelombang penularan baharu wabak COVID-19.
“Harapan kita SOP itu adalah realistik yang boleh membantu kita berkempen dalam masa yang sama, kita juga yang menentukan bahawa segala keperluan untuk penjarakan fizikal dan sebagainya dapat dilaksanakan supaya mengelakkan dari penyakit itu merebak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa disoal media selepas menyampaikan geran untuk rumah ibadat bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Jumaat.
Selaku bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusi Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Uggah melihat PRN yang julung kalinya diadakan ketika pandemik kali ini sebagai cabaran besar.
“Senario (PRN) kali ini akan menjadi berbeza, seperti yang kita lihat di Melaka dan model Melaka (akan menunjukkan bagaimana pelaksanaannya nanti),” tambahnya.
Untuk makluman, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 24 November 2021 berkaitan urusan PRN Sarawak melibatkan tarikh-tarikh penting serta persiapan pelaksanaannya.