PRN Sarawak: SPR adakan mesyuarat khas 24 November

Nazim Chee
November 12, 2021 13:14 MYT
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh akan mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di Kuching bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-12 akan diadakan pada Rabu, 24 November 2021.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan mesyuarat akan bermula pukul 9 pagi, di Kuching.
Mesyuarat Khas yang bakal dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Sarawak seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain.
Mesyuarat akan disusuli satu sidang media khas bagi mengumumkan tarikh-tarikh berkenaan dan perkara-perkara berkaitan.
DUN Sarawak terbubar secara rasmi pada 3 november lalu selepas penarikan proklamasi darurat di negeri itu oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Susulan itu PRN Sarawak perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh proklamasi darurat dibatalkan atau diungkaikan.
BACA: DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 3 Nov - Abang Johari
#PRN Sarawak #Suruhanjaya Pilihan Raya #Datuk Abdul Ghani Salleh #Pengerusi SPR
;