PRN Sarawak: SOP ketat, calon perlu bijak - Ivy Jugah
Fareez Azman
Disember 6, 2021 20:13 MYT
Disember 6, 2021 20:13 MYT
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dilihat memberi kelebihan buat calon di kawasan bandar berbanding luar bandar.
Ini kerana jelas Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sarawak, Ivy Jugah, fasiliti rangkaian jalur lebar yang mudah diakses di kawasan bandar dijangka memberi lebih peluang kepada calon mengemukakan manifesto masing-masing kepada pengundi.
"Dengan penggunaan media sosial, strategi baharu ini mungkin memberi kelebihan buat calon bertanding di kawasan bandar, bagi luar bandar pula mereka boleh meneruskan strategi tradisional seperti berkempen dengan SOP ketat.
"Tetapi secara tidak langsung maklumat manifesto sampai kepada pengundi. Bila kita lihat strategi baharu berkempen di bandar, ini kelebihan calon di kawasan itu yang mendapat capaian Internet lebih bagus," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai SOP ketat yang dikenakan dalam kempen PRN kali ini, ujarnya ia perlu digunakan sebaik mungkin oleh setiap calon bertanding.
Malah kebenaran berkempen dengan SOP seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Ahad, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada calon.
PSB dan PBK dijangka beri saingan sengit
Dari sudut saingan pula, tambah Ivy, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berdepan dengan saingan sengit dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang mana masing-masing bertanding di 73 dan 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kali ini saingan daripada parti PSB dan PBK untuk test market bertanding PRN kali ini dengan mencalonkan begitu ramai calon, saya sendiri terkejut dengan parti PBK.
"Kali ini 73 calon daripada PBK dan PSB, mungkin sebagai parti tempatan mereka ingin beri saingan dalam konteks pilihan raya yang lebih kompetitif," jelasnya lagi.
Ujar Ivy, dia turut menjangkakan beberapa isu tempatan akan dijadikan daya penarik pengundi oleh setiap parti antaranya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan beberapa isu pembangunan tempatan yang belum dicapai.
"PRN kali ini bila kita tengok GPS ada 82 calon, dan juga mendapat saingan daripada PSB dan PBK serta parti lain.
"Ini menunjukkan PRN kali ini memang akan memberi saingan agak sengit dalam kalangan parti bertanding walaupun GPS mengemukakan 24 calon baru, dalam masa sama agak berpengalaman dalam bidang politik.
"Pada masa sama, PSB juga calon dipertandingkan mempunyai latar belakang profesional, begitu juga parti lain. PRN kali ini amat sengit sekali," katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media memaklumkan telah menerima sejumlah 349 kertas pencalonan bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ia melibatkan Gabungan Parti Sarawak (82 calon); Parti Bumi Kenyalang (73); Parti Sarawak Bersatu (70); Parti Keadilan Rakyat (28); DAP (26); Aspirasi (15); Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (11); Amanah (8); Parti Sedar (5); Pas (1) manakala 30 (Bebas).