PRN Sarawak: Silap pangkah dapat kencing - Idris Buang

Shafik Ahmad
November 21, 2021 15:33 MYT
Kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, perkara dan pengalaman itu perlu dijadikan pengajaran serta iktibar untuk memilih kerajaan yang baik untuk mentadbir. - Astro AWANI
KUCHING: "Jangan tertipu lagi dengan manifesto ‘kitab suci’,".
Demikian tegas Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang ketika ditemui selepas taklimat Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Peringkat Cawangan PBB Muara Tuang di Dewan Suarah Kota Samarahan pada Ahad.
Pengalaman 22 bulan di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini katanya cukup untuk membuktikan bahawa mereka gagal.
“Janganlah kita tertipu kerana sebelum ini mereka menawarkan macam-macam dalam manifesto.
“Tetapi apabila diasak oleh rakyat, mereka kata manifesto bukan janji, bukan kitab suci, siapa yang memilih mereka pada ketika itu akan sedar bahawa mereka telah ditipu,” katanya.
Kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, perkara dan pengalaman itu perlu dijadikan pengajaran serta iktibar untuk memilih kerajaan yang baik untuk mentadbir.
“Mati-mati jangan diulangi kesilapan sama, untuk dikencing dan minta dikencing sekali lagi,” tegasnya.
Ditanya sama ada beliau sedia untuk dicalonkan semula, kata Idris perkara itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti.
“Jika dipilih saya akan teruskan khidmat saya di sini (Muara Tuang), jika tidak saya akur, biarlah parti menentukan siapa (calon) kerana parti lebih penting, hak rakyat bergantung kepada keutuhan dan kewibawaan parti,” katanya.
Pada PRN11, Idris menang dengan majoriti 8,578 undi dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan Abang Abdul Halil Abang Naili (AMANAH) dan Zulkipli Ramzi (PAS).
#Pakatan Harapan gagal #Idris mahu rakyat bijak #jangan tertipu #PRN Sarawak
;