PRN Sarawak: Setiap calon GPS jangan terlalu 'over confident' - Nanta
Syafik Shukri Jalil
Disember 7, 2021 22:12 MYT
Disember 7, 2021 22:12 MYT
SONG: Setiap calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan tidak terlalu yakin dan memandang rendah para pencabar mereka pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Setiausahanya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, apa yang penting, setiap calon perlu bijak menggunakan kempen untuk berusaha mendekati rakyat dan menjelaskan isu-isu yang dimainkan pembangkang.
“Saya sendiri sudah lima kali menghadapi pilihan raya di peringkat Parlimen dan saya tidak pernah terlalu yakin sebab itu saya nasihat pada calon GPS DUN Katibas, Lidam Assan supaya tidak terlalu yakin.
"Kita dalam masa yang diberi ini penting untuk berjumpa dengan rakyat dan perjelaskan serta buat pencerahan kepada mereka mengenai isu-isu yang dilemparkan pembangkang.
"Selain itu, perlu juga untuk calon untuk menjelaskan perancangan dan dasar pembangunan yang dirancang kerajaan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Song pada Selasa.
Selain itu, Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit juga berkata saingan enam penjuru yang akan didepani Lidam bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Hal ini kerana, kemunculan banyak parti baharu dianggap sebagai angin lalu dan tidak memenuhi aspirasi rakyat negeri Sarawak.
“Jadi enam penjuru ini bukan luar biasalah kali ini ia dianggap macam normal. Ini kerana dalam plihan raya ini mereka merasakan tidak perlu perarakan, buat ceramah kerana tidak dibenarkan jadi ini mungkin sesuai bagi mereka yang mungkin tidak berpolitik tetapi terus minat mengambil bahagian,” katanya lagi.
Lidam merupakan calon muka baharu ditampilkan GPS dalam saingan PRN12 menggantikan Datuk Ambrose Blikau Enturan yang merupakan penyandang kerusi itu selama sembilan penggal.
Pada PRN11, Ambrose dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 4,681 undi sekali gus menewaskan calon DAP, Paren Nyawi, yang meraih 1,628 undi.
Bagaimanapun, Ambrose mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Dun tersebut pada PRN12.