PRN Sarawak: 'Saya serba salah, kalau teruskan orang kata ...' - Abang Jo

Astro Awani
Oktober 22, 2021 16:54 MYT
Bagaimanapun ketika ditemui hari ini, Abang Jo berkata dia kini berada dalam dilema sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 diadakan atau sebaliknya. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Teka-teki pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak masih belum terjawab susulan belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Bagaimanapun menurut Abang Jo, beliau kini berada dalam dilema sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 diadakan atau sebaliknya.
‘’Saya ini serba salah, ini masa 'kecederaan'. Sekiranya saya masih teruskan, nanti orang akan bertanya mengapa masih hendak jadi Ketua Menteri sedangkan sudah tidak ada mandat dan kuasa.
‘’Kalau kita meminta kepada rakyat supaya memilih kerajaan (melalui pelaksanaan PRN) yang ada mandat kita dikatakan takut dengan Undi18. Ini jelas, kita juga menghormati Undi18,’’ katanya.
Abang Jo berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Meet in Malaysia @Sarawak di sini, pada Jumaat.
PRN Sarawak | Semakin hampir, rakyat harus bijak menilai - Abang Jo
Mengulas lanjut mengenai Undi18, Abang Jo berkata Sarawak sudah meminda Perlembagaan Negeri Sarawak bagi membolehkan pelaksanaan Undi18 direalisasikan.
‘’Kerajaan Negeri Sarawak meminda Perlembagaan Negeri Sarawak bagi membolehkan remaja 18 tahun jadi pengundi. Saya tahu ada tiga negeri belum lagi berbuat demikian.
‘’Jadi ini demokrasi. Kami juga mahu remaja 18 tahun mengundi tapi DUN kami dah tamat tempoh dan hanya menunggu tendangan penalti,’’ tambahnya.
BACA: PRN Sarawak: Beduk hampir berbunyi, saya serah kepada 'kitak' untuk menilai - Abang Jo
BACA: PRN Sarawak: Tunggu pengumuman bubar DUN dalam sehari dua - Abdul Karim
Sebelum ini, desas-desus mengatakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan pada hari ini. Namun, tiada sebarang pengesahan diberikan dari Abang Jo.
BACA: PRN Sarawak: Tiada sidang media pembubaran DUN esok - Pejabat Ketua Menteri
Hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan keputusan untuk mengadakan PRN12 terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
BACA: Agong penentu bila PRN Sarawak - Annuar Musa
Jelasnya lagi, ini kerana Sarawak ketika ini masih lagi dalam tempoh Proklamasi Darurat sehingga Februari tahun depan.
PRN Sarawak | Kuasa terletak di tangan Agong - Abang Jo
#PRN Sarawak #Abang Johari Tun Openg #Undi 18 #pembubaran DUN Sarawak
;