PRN Sarawak: "Saya sendiri terpaksa berkaki ayam" - Tiong Sii ikrar bantu rakyat susah
Hasimi Muhamad
November 19, 2021 13:05 MYT
November 19, 2021 13:05 MYT
SARIKEI: Dilahir dan dibesarkan dalam keluarga miskin menjadi pendorong kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Baginya, kesusahan dan keperitahan hidup rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Justeru, anak jati Sarikei itu memilih untuk berbakti tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, meskipun beliau sendiri belum tahu nasibnya dalam dunia politik.
“Saya sendiri terpaksa berkaki ayam ke sekolah sejak kecil dulu. Jadi, saya memberitahu saya sendiri untuk sentiasa ingat membantu orang-orang susah.
“Saya berharap anak-anak kita dapat bersekolah di keadaan yang selesa. Saya juga memahami kehidupan para petani.
“Oleh itu, saya berharap dapat membantu mereka untuk meningkatkan hasil pertanian,” katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Tiong Sii, 52, yang akan bertanding atas tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, isu pendidikan menjadi agenda utama jika beliau dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 akan datang.
Jelas beliau, bantuan persekolahan kepada pelajar di kawasan DUN Repok yang disalurkan selama ini mampu meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
“Selain itu, saya akan terus berusaha untuk menaik taraf fasiliti dan kemudahan sekolah-sekolah di N.45 Repok,” tambahnya.
Ditanya mengenai pencalonannya pada PRN ke-12, Tiong Sii berkata, beliau menyerahkan kepada keputusan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden SUPP, Datuk Seri Profesor Dr Sim Kui Hia untuk menentukan calon yang layak.
Pada PRN ke-11, Tiong Sii menang dengan majoriti undi 943 selepas menewaskan dua pencabarnya masing-masing calon DAP, Yong Siew Wei dan Wong Chin King (Bebas).
Untuk rekod, seramai 23,409 pengundi berdaftar di Dun Repok berdasarkan daftar pemilih setakat suku tahun kedua 2021.
Sementara, satu lagi DUN di bawah Parlimen Sarikei ialah Meradong dengan jumlah pengundi berdaftar seramai 18,166.