PRN Sarawak: Saya akan pertahan kerusi DUN Bawang Assan - Wong Soon Koh
Syafik Shukri Jalil
November 7, 2021 11:30 MYT
November 7, 2021 11:30 MYT
SIBU: Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Menurutnya, beliau sedia berdepan dengan pencabar daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Robert Lau yang merupakan Pengerusi SUPP cawangan Bawang Assan, di DUN tersebut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak tahu mengenai calon lain dan optimis akan menang di Bawang Assan.
“Ya, saya akan bertanding dan mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan.
“Mungkin pencabar saya ialah Senator Robert Lau,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Terminal Wharf Sibu hari ini.
Selain itu, PSB ujarnya sudah mengenal pasti kesemua kerusi yang akan ditandingi namun tidak akan meletakkan calon bagi kesemua 82 kerusi DUN yang dipertandingkan kali ini.
“Kita sudah mengenal pasti kesemua kerusi yang akan ditandingi dan mungkin akan bertanding di 70 kerusi sahaja.
“Kita (PSB) yakin kita mampu melakukan yang terbaik untuk PRN kali ini kerana kita meletakkan calon dari golongan profesional.
“Mereka yang terdiri dari kalangan doktor, peguam dan profesor sememangnya layak bertanding. Malah ada juga dalam kalangan calon yang kami namakan yang berhenti dari jawatan-jawatan tertinggi dan memperoleh gaji yang besar.
“Mereka sanggup berkorban demi melakukan perubahan kepada Sarawak,” tambah Wong.
Pada PRN11 Sarawak, beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), menang kerusi DUN Bawang Assan dengan majoriti 4,131 undi setelah menewaskan empat pencabar dalam pertandingan lima penjuru.
Wong meraih 9,015 undi menewaskan calon DAP Chiew Sung Ngie yang mendapat 4,884 undi, Wong Sing Wei (STAR) 100 undi, Yeu Bang Keng (Bebas) 63 undi dan Watson Bangau Jonathan Renang (Bebas) 569 undi.