PRN Sarawak: SABERKAS Jepak mohon harga tiket penerbangan dikurangkan

Syafik Shukri Jalil
November 24, 2021 14:41 MYT
Alhadi berharap satu inisatif dapat dilakukan bagi menangani isu harga tiket penerbangan yang dikatakan agak mahal ketika ini. - Foto Astro AWANI
BINTULU: Pertubuhan Kebangsaan Belia Sarawak (SABERKAS) cawangan Jepak memohon agar harga tiket penerbangan dapat dikurangkan menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Menurut Pengerusinya, Alhadi Mat, langkah ini bagi membolehkan lebih ramai warga negeri itu yang berada di luar negeri untuk pulang mengundi kelak.
“Ketika ini saya difahamkan harga tiket penerbangan agak mahal dan saya berharap satu inisatif dapat dilakukan.
“Contohnya mungkin kerajaan negeri dan kerajaan pusat boleh mempertimbangkan kaedah lain untuk membantu pengundi-pengundi ini pulang dan menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Alhadi berkata demikian dalam slot Buletin AWANI khas pasca pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh-tarikh penting menjelang PRN12.
Terdahulu, SPR menetapkan 18 Disember 2021, hari penamaan calon ditetapkan pada 6 Dis manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Dis.
BACA: PRN Sarawak: Tarikh pengundian 18 Dis, penamaan calon 6 Dis - SPR
BACA: PRN Sarawak: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi, belum umum SOP pilihan raya
Tempoh berkempen pula ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 6 Dis, iaitu hari Isnin, sehingga jam 11.59 malam 17 Dis.
Pada PRN11, sejumlah 70.1 peratus melibatkan 777,018 pengundi berdaftar di negeri Sarawak menunaikan tanggungjawab memilih perwakilan mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Angka itu turut melibatkan pengundi pos yang melibatkan anggota keselamatan.
#PRN Sarawak #Sarawak Memilih #Harga tiket penerbangan #Dewan Undangan Negeri Sarawak
;